Polis Perancis pindah beratus-ratus migran

PARIS, 28 JAN – Pihak polis memindahkan beratus-ratus migran dari kem sementara di utara Paris awal hari ini, percubaan terbaharu untuk menghalang pencari suaka daripada tinggal di jalan-jalan di ibu negara Perancis.

Polis berkata 1,436 orang termasuk 93 kanak-kanak dan 1,187 lelaki bujang telah dipindahkan daripada kem, di mana mereka telah tinggal di khemah-khemah dan tempat perlindungan sementara di sepanjang jalan Paris.

Berpuluh-puluh kem telah didirikan sejak kemasukan migran ke Eropah sejak 2015, dan kira-kira 20,000 orang telah dipindahkan dari kem-kem di dalam atau berhampiran Paris beberapa tahun kebelakangan.

Di bawah dingin angin, para migran menaiki bas sambil membawa barang-barang dalam jumlah minimum, meninggalkan khemah serta tilam, basikal dan barangan lain.

“Kita akan lihat di mana polis akan membawa kami,” kata Fatima, berusia 38 tahun dari Ivory Coast, menunggu untuk menaiki bas bersama tiga anak perempuannya, tatkala seorang masih di dalam kereta sorong anak kecil.

“Untuk sekarang kami tidak tahu apa akan terjadi, tetapi kami tetap berharap,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Yssouf,29, juga dari Ivory Coast memberitahu AFP dia telah tinggal di khemah sejak Disember lalu selepas dia diarahkan untuk meninggalkan kemudahan perumahan apabila permohonan suakanya ditolak. – AFP

Para migran menunggu untuk dipindahkan oleh pasukan polis awal pagi tadi di Paris. – AFP