Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Satu percubaan untuk menyeludup masuk ayam mentah ke negara ini berjaya dipatahkan apabila keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memintas sebuah perahu yang mencurigakan di kawasan laut Kampung Serdang, baru-baru ini.
Semasa insiden tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun telah ditangkap setelah cuba untuk melarikan diri sehingga terjadi pelanggaran antara perahu suspek dan bot polis yang mengakibatkan perahu suspek dimasuki air dan karam.
Suspek ketika ini telah ditahan di pusat kuarantin Perkampungan Sukan selama 14 hari sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan lanjut.
Pihak polis yang melakukan pemeriksaan ke atas perahu suspek telah menemui bungkusan plastik berisi sembilan paket ayam mentah.
Kejayaan penangkapan itu adalah hasil operasi rondaan pencegahan jenayah pasukan itu di kawasan perairan Sungai Brunei.
PPDB turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada pihak polis menerusi talian 993 atau balai polis berdekatan.
