Polis rampas dadah bernilai RM120,000 di Miri

MIRI, 11 Jan – Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita warga asing dalam satu serbuan antidadah di sebuah kondominium mewah di Tanjung Lobang pukul 2.25 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata tiga daripada mereka adalah warga tempatan yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita wanita, manakala warga asing itu pula adalah warga China.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Miri turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,000 dalam serbuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata antara dadah yang dirampas ialah ganja, ecstasy, ketamine dan nimetazepam dengan anggaran berat kasar setiap dadah dirampas antara 1124.52gram dan 11.70gram.

“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Polis Miri berharap kerjasama dengan orang awam dapat diteruskan dalam membanteras masalah dadah,” katanya lagi. – Bernama