Friday, October 7, 2022
23.1 C
Brunei

Polis rampas dadah lebih RM6.4 juta

-

KOTA BHARU, 7 SEPT – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Kelantan dan Lembah Klang dengan penahanan lima lelaki serta rampasan pelbagai dadah bernilai lebih RM6.4 juta, Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 27 hingga 39 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan.

“Tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 27 tahun di tepi jalan di Pengkalan Chepa dan pemeriksaan menemukan 17 bungkusan berisi pil yaba serta Erimin 5 di dalam kereta Perodua Viva dipandunya. 

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian dan menemukan 100 bungkusan pil yaba dan 80 bungkusan daun ganja,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Muhamad Zaki berkata hasil siasatan lanjut, polis menahan empat lagi lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Seri Kembangan, Selangor.

“Jumlah keseluruhan rampasan ialah 624,000 pil yaba, 400 pil Eramin 5 dan 78,810 gram ganja bernilai lebih RM6.4 juta. Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 703,210 penagih.

“Polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, seutas jam tangan dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM260,344,” katanya. – Bernama

Datuk Muhamad Zaki Harun (tiga, kanan) ditemui pemberita berhubung rampasan dadah bernilai RM6.4 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -