Polis rampas dadah, sita harta hampir RM11 juta

KOTA BHARU, 10 SEPT – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama polis Kontinjen Kelantan berjaya merampas sejumlah 700,000 biji pil kuda bernilai RM10.5 juta dalam Op Toucan yang dilaksanakan pada 5 September lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata rampasan itu dilakukan selepas pihaknya berjaya menahan tiga lelaki di Pasir Mas, 5 September lepas.

Katanya polis menahan tiga lelaki berumur antara 19 hingga 53 tahun itu dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di Pasir Mas pada pukul 12 tengah hari berdekatan Jalan Lubuk Kiat-Kubang Kuau, Pasir Mas.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui 700,000 pil kuda seberat 77.61 kilogram yang dianggarkan bernilai RM10.5 juta yang dipercayai diperolehi dari negara jiran.

“Susulan tangkapan itu, polis kemudiannya bertindak menahan seorang lelaki dua jam kemudian dipercayai sebagai ketua sindiket pengedaran dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama. Suspek berusia 37 tahun ketika ditahan dikatakan bakal berangkat menunaikan umrah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mohd Khalil berkata JSJN Bukit Aman dengan kerjasama polis Kontinjen Kelantan telah menjalankan risikan menerusi Ops Toucan sejak April lalu.

Jelasnya pada 5 petang hari yang sama, polis turut menahan seorang wanita berumur 48 tahun di sebuah rumah Jalan Yaakubiah di sini, yang dipercayai bertindak sebagai pengurus wang kepada sindiket pengedaran dadah berkenaan. – Bernama

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (dua, kiri) bersama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (empat, kanan) menunjukkan sejumlah wang tunai yang dirampas dalam Op Toucan dan Op Damn Tokan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan kelmarin. – Bernama