Polis rampas kereta mewah atas kesalahan pandu laju

COPENHAGEN, DENMARK, 8 OKT – Polis Denmark telah merampas sebuah kereta mewah berprestasi tinggi setelah pemiliknya memandu dengan laju ketika pulang ke rumah dari Jerman ke Norway, menurut laporan akhbar di utara Denmark.

Lelaki itu, seorang warganegara Iraq yang tinggal di Norway yang tidak dikenali, telah ditahan atas kesalahan memandu kereta dengan kelajuan 236 kilometer sejam (kmsj) menggunakan kereta berjenama Lamborghini Huracan di jalan raya dengan had kelajuan maksimum 130kmsj sahaja.

Di bawah undang-undang Denmark yang baharu, polis boleh merampas kenderaan pemandu yang tidak bertanggunjawab dan melelongnya, dengan wang yang diperoleh masuk ke tabung perbendaharaan Denmark.

Surat khabar Nordjyske mengatakan lelaki itu telah membeli kereta tersebut beberapa jam sebelumnya di Jerman dengan harga AS$310,000.

Jess Falberg, pegawai yang bertugas dengan polis utara Denmark, memberitahu Nordjyske bahawa pemilik kereta tersebut merasa ‘sedikit kesal’ ketika keretanya dirampas.

Pemilik kereta tersebut juga akan dikenakan saman atas kesalahan memandu dengan laju. – AP