Polis rampas pil kuda, syabu bernilai RM760,000

KOTA BHARU, 24 DIS – Polis Kelantan merampas 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 40,000 biji pil kuda dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas dan Bachok pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Hari berkata dalam serbuan pertama di Pasir Mas, sepasang suami isteri, masing-masing berusia 30 dan 23 tahun, ditahan kerana memiliki 10kg dadah jenis syabu dan 16,000 biji pil kuda, dianggarkan bernilai RM520,000.

Beliau berkata dalam kejadian pada 5 petang itu pihaknya menahan suspek lelaki di tepi jalan di pekan Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg silang lelaki tersebut menemukan satu bungkusan plastik mengandungi dadah jenis pil kuda dan soal siasat dijalankan ke atas suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Rantau Baru Gual Nering, Rantau Panjang.

“Pemeriksaan dijalankan di atas siling bahagian dapur rumah menemukan satu kotak berwarna coklat mengandungi 30 plastik biru berisi dadah disyaki pil kuda selain dua bungkusan plastik berwarna hijau yang mana kedua-duanya mengandungi 10 bungkusan mampat disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata polis juga menyita wang tunai berjumlah RM61,758, barang kemas serta pelbagai jenis kenderaan bernilai RM119,258.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan kedua di Bachok, Muhamad Zaki berkata sepasukan anggota narkotik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, menahan seorang pemuda berusia 23 tahun di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Gunong pada 6.45 petang. – Bernama