Polis rekod keterangan 47 rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 20 Feb – Polis akan memanggil kesemua 47 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati ada unsur jenayah dalam kes itu dan kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Langkah pertama sekali kita nak tahu apa cerita sebenarnya. Bagaimana mereka (mangsa) terlibat dibawa masuk ke sana (Kemboja). Apa dijanjikan oleh syarikat yang menawarkan perkhidmatan (kerja) kepada mereka.

“Kita nak tengok sama ada wujud unsur-unsur seperti penipuan ataupun tipu daya… apa yang dijanjikan kepada mangsa, adakah syarikat terbabit penuhi janjinya dari segi tempat tinggal, kemudahan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kepada seramai 318 pegawai polis, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah bahawa polis telah mengenal pasti seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Mustafa Kamal dilaporkan berkata pihaknya sedang giat mengesan suspek susulan lapan laporan polis yang diterima setakat semalam.

Kesemua 47 rakyat Malaysia terbabit tiba di tanah air dari Kemboja pada Ahad lepas.

Seramai 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga anak jati Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata siasatan awal mendapati kemungkinan sindiket tempatan berperanan mendapatkan pekerja sebelum menyerahkan kepada sindiket luar yang beroperasi di Kemboja. – Bernama