Polis, renjer cedera dalam siri serangan ‘bom paip’ di Yala

YALA, 16 Mei – Empat anggota polis dan seorang renjer cedera dalam siri serangan ‘bom paip’ dan insiden tembakan di Yala, selatan Thailand.

Di Mueang Yala, empat anggota polis yang sedang bertugas di pusat pemeri-ksaan  keselamatan yang terletak di Jalan Sukkayang, Kg Berseng cedera dalam serangan bom paip, kira-kira 7.50 malam (waktu tempatan) malam tadi.

Ketua Polis Wilayah Yala Maj. Jen. Pol. Kerissada Kaewjandi berkata dua individu yang tidak dikenali menaiki motosikal telah melontar bom paip ke arah pusat pemeriksaan yang ketika itu terdapat enam anggota yang sedang bertugas.

Polis menemui serpihan bom paip buatan sendiri di tempat kejadian, katanya.

“Pada masa yang sama, beberapa serangan bom paip berlaku di pusat pemeriksaan keselamatan lain iaitu di Jalan Sateng, berdekatan dengan penjara Yala, Krong Pinang dan Khlong Nam Khun. Namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Siri serangan bom paip ini ini dilihat bertujuan untuk mewujudkan keadaan huru-hara di Yala.

“Namun begitu, pihak keselamatan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan pada bulan Ramadan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, di pusat pemeriksaan keselamatan di Kg Banggul Sina, daerah Jaha, seorang renjer cedera di tangan dan kaki akibat ditembak dari jarak jauh oleh  individu yang tidak dikenali. –Bernama