Polis Sabah lupuskan dadah bernilai RM2.5 juta

SANDAKAN, 13 Sept – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Sabah melupuskan 23,338.47 gram dadah bernilai RM2.5 juta di sini, hari ini.

Kaedah pembakaran tertutup dilakukan untuk pelupusan dadah tersebut yang dilaksanakan di kilang Sabahjuta Industries di Jalan Seguntor Batu 8.

Dadah yang dilupuskan terdiri daripada syabu, heroin, ganja, eramin 5, ketamine,  pil ecstacy dan psikotropik, ubat batuk, diazepam serta paracetamol.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata dadah jenis syabu paling banyak dilupuskan iaitu seberat 14,553.34 gram.

Barang kes dadah yang dilupuskan merupakan kes mulai 1998 hingga 2017 yang telah selesai perbicaraan melibatkan 7,715 kertas siasatan dan mendapat arahan daripada mahkamah untuk dilupuskan, katanya dalam sidang media di kilang itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin (kanan) mencampakkan dadah ke dalam api untuk dilupuskan di pusat pembakaran di sebuah kilang, hari ini. Pelbagai jenis barang kes dadah yang telah selesai perbicaraan dari 20 daerah dalam kontinjen Sabah yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta dilupuskan. – Bernama

Pelupusan kali ini yang pertama kali dilaksanakan pada tahun ini membabitkan barang kes dadah melibatkan 20 daerah dalam kontinjen Sabah,

Menurutnya bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah memutuskan untuk menggunakan khidmat syarikat untuk proses pembakaran tertutup.

Katanya pelupusan ini bagi mengelakkan tempat penyimpanan menjadi tidak tersusun dan memberi ruang bagi barang kes baharu yang masih dalam perbicaraan.

Mohd Azhar berkata paling utama risiko lain ia boleh membahayakan kesihatan kepada anggota petugas di stor barang kes dan pegawai penyiasat yang menguruskan barang kes. – Bernama