KOTA KINABALU, 23 Jan – Lebih 400 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Sabah akan dikerahkan bagi menjayakan misi ‘Op Selamat’ yang antara lain untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta jenayah pecah rumah sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata pihaknya telah mengenal pasti 10 kawasan panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya dengan melibatkan laluan sepanjang 212 kilometer di negeri itu.
“Op Selamat kali ini menitikberatkan aspek mengurangkan kemalangan jalan raya di samping kemalangan maut serta mengelak kejadian kes pecah rumah semasa penghuni pulang ke kampung untuk menyambut perayaan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ops Selamat’ bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ peringkat negeri di sini hari ini.
Op Selamat dan Op Bersepadu dijalankan serentak sempena Tahun Baharu Cina mulai 21 Januari hingga 5 Februari ini. Op Bersepadu melibatkan antara lain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). – Bernama