SANDAKAN, 23 Jan – Polis menahan seorang lelaki yang tiada dokumen pengenalan diri dan merampas syabu seberat 105 gram di kawasan setinggan Mangkalinau dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Hamin berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan dalam intipan yang dijalankan di kawasan tersebut pada pukul 5:30 petang.
Katanya ketika hendak diperiksa oleh anggota polis, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan kemudian meletakkan sesuatu ke dalam lumpur.
“Lelaki itu kemudian berjaya ditahan dan anggota polis menemui satu plastik hitam di dalam lumpur yang mengandungi tiga paket plastik jernih berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Bernama