SANDAKAN, 11 April – Polis merampas sepucuk pistol berserta tujuh butir peluru dan menahan tiga lelaki di Jalan Buli Sim-Sim di sini pada 3 April lepas.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Hamin berkata pistol jenis Armscor 45 berwarna perak itu dipercayai hendak dijual kepada individu lain. Katanya bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di tepi jalan lorong BDC 6 Jalan Buli Sim-Sim pada kira-kira 3.30 petang.
Hasil pemeriksaan di dalam beg dibawa lelaki itu, polis menjumpai sebuah kotak dibaluti pita pelekat dan apabila dibuka menjumpai sepucuk pistol berserta enam butir peluru, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Polis turut memeriksa rumah lelaki itu di Taman Beach Garden di sini dan menjumpai sebutir peluru.
Katanya turut ditahan dua lelaki berumur 33 dan 37 tahun yang merupakan rakan suspek bagi membantu siasatan.
Azhar berkata ujian air kencing juga mendapati ketiga-tiga lelaki itu positif menggunakan dadah jenis syabu. – Bernama