LAGOS, 1 NOV – Polis Nigeria menyelamatkan seramai 15 orang dalam keadaan dirantai dalam sebuah gereja di Ijegun, Lagos dalam serbuan terbaharu petang kelmarin.
Jurucakap polis Lagos, Bala Elkana berkata pegawai penyiasat yang menyerbu gereja yang digunakan sebagai kem tahanan berjaya menemui 15 lelaki dan perempuan berusia antara 19 dan 50 tahun yang dirantai kaki. Elkana berkata, polis turut menahan paderi gereja terbabit, Sunday Joseph Ojo dan 10 individu lain.
Katanya, kesemua mangsa dibawa keluarga mereka ke gereja terbabit dengan tujuan merawat penyakit dan masalah mental. “Paderi itu memberitahu mereka melakukan rawatan terbabit sejak 1986 dan merantai mangsa bagi mengelak me-reka melarikan diri,” katanya.
Tambahnya, beberapa mangsa dikurung dalam gereja itu selama lima tahun dan kes masih dalam siasatan. – AFP.