Polis serbu kapal persiaran terjejas COVID-19

SYDNEY, 9 APRIL – Polis Australia menyerbu kapal persiaran Ruby Princess yang terjejas dengan jangkitan COVID-19 dan merampas kotak hitamnya, kata pihak berkuasa negara itu hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada tindakan siasatan jenayah selepas ribuan penumpang kapal itu dibenarkan turun di Sydney dan 15 daripada mereka kemudian meninggal dunia akibat pandemik itu.

Menurut polis New South Wales (NSW), anggota yang memakai sut pelindung diri dan topeng muka, menyerbu kapal itu di Pelabuhan Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney, malam tadi.

“Pegawai polis memasuki Ruby Princess untuk mengumpulkan bukti… kapal mempunyai kotak hitam yang amat serupa dengan pesawat antarabangsa dan bukti lain juga sudah dirampas,” kata Pesuruhjaya Polis NSW, Mick Fuller, kepada media.

Ruby Princess berlabuh pada Isnin lalu selepas berminggu-minggu terkandas di laut, bagi membolehkan doktor memeriksa kru yang sakit dan membawa kes paling serius ke darat untuk rawatan.

Polis melancarkan siasatan jenayah ke atas pengendali Carnival Australia berkaitan ribuan penumpang yang turun pada pertengahan Mac lalu meskipun sebahagiannya menunjukkan simptom seperti selesema. – AFP

Anggota polis New South Wales dan penyiasat memakai sut perlindungan bersedia menaiki kapal persiaran Ruby Princess di Wollongong, Australia bagi mendapatkan bukti dan menyoal kru kapal selepas sejumlah orang dijangkiti COVID-19 dengan 15 maut setakat ini. – AP