Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Polis siasat insiden 528 tahanan Rohingya lolos

    GEORGE TOWN, 20 APRIL – Siasatan mengenai punca yang menyebabkan 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Kedah meloloskan diri akan dilakukan oleh polis Kedah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata memandangkan depot berkenaan terletak di Kedah maka siasatan adalah di bawah bidang kuasa negeri itu.

    “Kami hanya membantu dalam mencari yang berjaya meloloskan diri dan juga siasat punca kemalangan yang menyebabkan enam tahanan terkorban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata polis Pulau Pinang menjalankan operasi seperti sekatan di tiga laluan utama iaitu Jalan Sungai Baung di Sungai Bakap, Jalan Tasek Valdor di Simpang Ampat dan Jalan Kerian di Nibong Tebal.

    “Seluruh anggota di IPD Seberang Perai Selatan telah dikerahkan untuk menyertai pasukan tangkapan yang mempunyai 17 pasukan yang tidak melebihi 80 pegawai,” katanya.

    Mohd Shuhaily berkata siasatan awal polis mendapati mereka yang melarikan diri bergerak ke arah selatan namun destinasi mereka tidak diketahui.

    “Mereka yang melarikan diri ini dalam keadaan tidak memakai kasut… saya percaya mereka kini dalam keadaan letih dan lemah setelah hampir 12 jam berjalan. Jadi saya ingin memohon orang ramai yang menyedari kejadian itu untuk menghubungi polis,” katanya sambil menambah setakat ini, sejumlah 171 pelarian Rohingya yang terdiri daripada 131 lelaki, 28 wanita dan 12 kanak-kanak lelaki sedang dikesan.

    Beliau juga berkata polis telah mengenal pasti pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis yang melanggar enam tahanan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala arah selatan pada awal pagi tadi.

    Katanya pemandu itu, seorang lelaki berumur 53 tahun, kini trauma dan mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya. Seramai 528 warga asing etnik Rohingya, yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, telah melarikan diri. Enam daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala arah selatan di sini. – Bernama

    Seorang pelarian Rohingya ditahan semula di kawasan Nibong Tebal. Seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, dengan 357 ditemui semula termasuk enam maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS). – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...