Polis Swiss curiga dengan perjanjian televisyen Blatter

LAUSANNE, 30 APRIL – Sebuah laporan polis yang diperoleh AFP kelmarin menunjukkan kelakuan mencurigakan terhadap ketua FIFA, Sepp Blatter mengenai kontroversi perjanjian televisyen adalah ‘berasas’ meskipun pihak pendakwa Switzerland menggugurkan kes itu.

Ketua undang-undang Switzerland mengesyaki Blatter telah menandatangani ‘kontrak yang tidak memihak kepada FIFA’ dengan Kesatuan Bolasepak Carribean (CFU) yang dipimpin oleh Jack Warner, yang telah digantung dari bola sepak seumur hidup dan didakwa dengan kes rasuah oleh pegawai keadilan Amerika Syarikat.

Perjanjian itu telah memberikan hak penyiaran televisyen untuk Piala Dunia 2010 dan 2014 kepada CFU sebanyak AS$600,000, satu jumlah yang dilihat sangat rendah daripada harga pasaran.

“Blatter bertindak lebih demi kepentingan Warner daripada FIFA,” kata salah satu dokumen dari siasatan.

“Dengan kegagalan mengemukakan tuntutan oleh FIFA terhadap CFU ketika dia mengetahui tentang hal itu, Blatter mengetahui bahawa Warner akan secara tidak sah manjadikan dirinya kaya dengan mengorbankan FIFA,” tambah para penyiasat.

Akibat tiada tindakan daripada Blatter terhadap CFU atau Warner, FIFA mengalami kerugian berjumlah AS$3.78 juta.”

Tetapi Peguam Negara Switzerland mengesahkan awal bulan ini bahawa mereka tidak berniat untuk mendakwa Blatter, 84, kerana memberikan hak penyiaran kepada CFU.

Ia merupakan salah satu dari dua kes yang dilancarkan ke atasnya pada tahun 2015, kerana ‘kecurigaan mengenai pengurusan yang tidak adil dan pecah amanah’. – AFP