Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tahan lelaki, rampas 18,000 biji pil kuda

    KOTA BHARU, 6 NOV – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 18,000 biji pil kuda seberat 2.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM165,000 di belakang sebuah sekolah di Kampung Kota Jembal, di sini pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berumur 29 tahun itu ditahan bersama motosikal di kampung itu dipercayai sedang menunggu seseorang pada 7:30 malam.

    Beliau berkata ketika suspek diperiksa, polis menemukan satu bungkusan plastik berwarna putih di dalam raga motosikalnya dan pemeriksaan lanjut di dalam plastik itu mendapati ada tiga bungkusan kekuningan berisi 18,000 biji pil kuda.

    “Kami percaya suspek sedang menunggu pelanggannya untuk mendapatkan dadah itu yang dianggarkan boleh digunakan sebanyak 18,000 penagih.

    “Selain dadah, polis turut menyita motosikal yang digunakan suspek serta wang tunai RM1,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

    Mohd Yusoff berkata suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan disahkan positif dadah serta direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 November untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Berikutan itu, Mohd Yusoff berkata sebanyak 663 individu berumur antara 17 hingga 65 tahun telah ditahan dalam Op Tapis Bersepadu dan Op Bersepadu Sempadan yang bermula 29 Oktober hingga semalam serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.87 juta.

    Mengulas mengenai penglibatan anak muda dalam dadah dan berhibur di Sungai Golok, Thailand, Mohd Yusoff berkata ibu bapa diminta memantau pergerakan anak mereka terutama pada hujung minggu kerana sekiranya mereka berhibur di kelab malam, dikhuatiri akan terjebak dengan bahan terlarang itu.

    “Dadah mungkin dimasukkan ke dalam minuman, makanan dan cecair vape semasa berada di premis hiburan di pekan sempadan itu yang bertujuan mengkhayalkan mereka sekali gus berpotensi membuatkan anak muda menjadi penagih,” katanya. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan sebahagian 252,000 biji dadah jenis pil Yaba (kuda) bernilai lebih RM2.5 juta yang dirampas pada dua serbuan berasingan pada 29 Jun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda