Polis tahan pendakwah popular Bangladesh

DHAKA, 25 MEI – Polis Bangladesh hari ini menahan pendakwah paling popular di negara itu, yang dituduh menghasut orang ramai menyokong kumpulan militan.

Seorang pegawai kanan kerajaan memaklumkan, pendakwah itu, Amir Hamza, adalah antara pemimpin Islam berprofil tinggi terbaharu yang ditahan sejak Mac lalu, ketika lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, mencetuskan tunjuk perasaan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban.

Menurut polis, Hamza ditahan dalam serbuan di rumahnya di bandar Kushtia barat negara itu sebelum dipindahkan ke Dhaka.

Ketua Unit Kontra-keganasan Polis Dhaka, Mohammad Asaduzzaman, berkata mahkamah memutuskan Hamza ditahan selama 10 hari untuk disoal siasat.

“Dia ditahan atas tuduhan terbabit dalam kes antikeganasan,” katanya, menambah bahawa penyiasat telah menjumpai video ucapan Hamza di dalam telefon bimbit seorang suspek yang ditahan bulan ini atas tuduhan berkomplot menyerang parlimen Bangladesh. Hamza, yang berusia 30an, merupakan salah satu generasi baru pendakwah Islam yang ceramahnya menarik ramai orang di negara majoriti Islam itu.

Ceramah disiarkan dalam video YouTube Hamza juga mendapat jutaan tontonan. – AFP

Pix web dakwah caps: Amir Hamza diiringi polis selepas penangkapannya. – AFP