Polis tahan pengendali Sarawak Update

KUCHING, 15 Jan – Seorang lelaki yang mendakwa menjadi pengendali Facebook Sarawak Update tampil di pusat sehenti polis di sini pada 10.30 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata lelaki berumur 45 tahun itu kemudian ditahan dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan lanjut.

Satu laporan dibuat di Mukah semalam mengenai status yang dimuat naik di laman berkenaan yang didakwa menghina seorang menteri negeri dan kaum tertentu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Polis Sarawak telah memulakan siasatan berkenaan status daripada Sarawak Update semalam di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Daripada komen oleh pengikut laman sosial itu, jelas bahawa status tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama