Polis tahan suspek siar foto perhimpunan antikerajaan di Facebook

BANGKOK, 18 DIS – Polis Thailand menahan suspek yang terbabit menyiarkan foto perhimpunan antikerajaan di Facebook, kata menteri hari ini, apabila imej jelik itu tular beberapa hari selepas bantahan terbesar sejak pilihan raya Mac lalu diadakan.

Ribuan penduduk pinggir Bangkok menghadiri bantahan itu yang diadakan Sabtu lalu, diketuai pemimpin pembangkang terkenal, Thanathorn Juangroongruangkit dan barisan eksekutif Future Forward Party (FFP).

Sambil menjulang sepanduk bertulis ‘kuku besi’ dan desakan untuk Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha meletak jawatan, bantahan terbabit berlangsung dengan aman selama sejam.

Acara itu bagaimanapun menjengkelkan pihak berkuasa, apabila Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat, Buddhipongse Punnakanta menyebut mengenai foto yang dianggap mengecewakan semua rakyat Thailand.

Foto berkenaan memaparkan imej seorang peserta menjulang sebuah sepanduk dengan isyarat lucah. Mural imej bekas Raja Thailand, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej turut jelas kelihatan sebagai latar belakang sepanduk.

Thailand terkenal sebagai antara negara dengan undang-undang paling ketat di dunia namun pihak berkuasa tidak memperincikan dakwaan akan dikenakan ke atas suspek.

Buddhipongse berkata, beliau sudah menjalankan siasatan sebelum suspek ditahan namun enggan memberi butiran lanjut. – AFP