Polis Tawau tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai lebih setengah juta

TAWAU, 5 Jan – Polis Tawau menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah serta merampas dadah jenis syabu bernilai RM676,500 dalam satu serbuan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Bunga, Fajar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata kedua-dua suspek masing-masing beralamat dari Selangor dan Tawau itu ditahan kira-kira pukul 10:45 malam.

“Suspek pertama berusia 48 tahun ditahan ketika sedang memegang bagasi berwarna hijau dan di dalamnya terdapat lima bungkusan kertas buku sekolah yang dibaluti dengan pita pelekat.

“Setiap satu bungkusan itu mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, tangkapan itu turut membawa kepada penahanan suspek kedua yang juga rakannya berusia 29 tahun di dalam sebuah kereta.

Fadil berkata hasil siasatan mendapati dadah dengan anggaran berat keseluruhan 6,176.65 gram itu dipercayai diperoleh dari Semenanjung Malaysia untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi tidak menolak kemungkinan pembabitan suspek dengan mana-mana rangkaian pengedar dadah di daerah ini.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. – Bernama