Polis, tentera Indonesia siasat sindiket seludup PATI

JAKARTA, 2 JAN – Polis dan tentera Indonesia telah membuka kertas siasatan berhubung sindiket membawa pendatang tanpa izin (PATI) warganya ke Malaysia melalui perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor termasuk pembabitan dua anggota tentera.

Menurut portal rasmi berita Polis Sumut, beberapa orang daripada 18 orang yang ditahan telah dituduh berperanan sebagai ejen perjalanan termasuk menguruskan perjalanan kapal.

“Cara kerjanya menggunakan ejen, kemudian berkomunikasi dengan telefon bimbit, dijemput dan dibawa ke tempat perlindungan, kemudian masa ditentukan untuk dibawa ke kapal dan dihantar,” kata Pengarah Siasatan Jenayah Polis Sumatera Utara, Tatan Dirsan Atmaja.

Beliau berkata agensi itu menetapkan bayaran antara 10 juta rupiah (RM2,900) hingga 11 juta rupiah seorang untuk menghantar ke Malaysia melalui pelabuhan tikus di Batubara, Medan.

Mengenai punca nahas bot karam pada 15 Disember lalu, Tatan berkata enjin pam air rosak dan lebihan muatan menjadi faktor utama.

“Ada dua buah kapal yang berlepas iaitu yang pertama membawa 60 orang dan yang kedua karam membawa 50 orang.”

Dalam kejadian itu, bot kedua itu karam pada kira-kira pukul 4.30 pagi ekoran cuaca buruk mengorbankan 21 orang, 16 dipercayai hilang dan 13 terselamat.

Terdahulu ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Benny Rhamdani pada 28 Disember lalu mendedahkan kewujudan penglibatan anggota tentera udara dan laut dalam kejadian itu. – Bernama