Polis Thai ditembak di kepala

BANGKOK, 7 OKT – Seorang anggota polis yang mencari penunjuk perasaan antikerajaan yang melarikan diri ke flet Din Daeng di Bangkok cedera parah, setelah ditembak di kepala oleh orang yang tidak dikenali.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10:45 malam (waktu tempatan) Rabu, di flet yang terletak berhampiran persimpangan Din Daeng, lokasi penunjuk perasaan anti-kerajaan bertempur dengan polis hampir setiap hari sejak Ogos.

Flet Din Daeng merupakan tempat para penunjuk pera-saan yang melarikan diri daripada polis sering berlindung.

Timbalan jurucakap polis, Kol Kissana Phathanacharoen berkata anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Besar Polis.

“Dia masih dalam keadaan kritikal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Thai PBS melaporkan sebutir peluru dipercayai menembusi topi keledar pegawai itu dan terbenam di tengkoraknya. – Bernama