Saturday, January 28, 2023
23.2 C
Brunei

-

Polis Thailand kenal pasti dalang insiden landasan kereta api dibom

SONGKHLA, 5 DIS – Polis Thailand telah mengenal pasti kumpulan yang disyaki terlibat dalam insiden letupan bom di landasan kereta api di Sadao, Songkhla pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Bahagian Kesembilan, Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi berkata pasukan keselamatan mempergiat memeriksa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masuk ke tempat kejadian untuk menjejaki kumpulan yang terlibat.

“Polis telah mengenal pasti kumpulan militan yang menjadi dalang kejadian letupan bom di landasan kereta api itu. Kumpulan berkenaan bergiat aktif di Sadao.

“Siasatan mendapati kumpulan itu berada berdekatan di tempat kejadian untuk mengaktifkan bom yang ditanam di bawah landasan,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, motif kejadian dipercayai sebagai membalas dendam terhadap kematian anggota kumpulan itu pada Oktober dan Februari lalu.

Pada Sabtu, sebuah kereta api barang mengangkut getah yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan kereta api itu dibom.  

Dalam kejadian pada 12:50 tengah hari (waktu tempatan) itu, 11 daripada 15 gerabak kontena rosak dan tergelincir daripada landasan. Siasatan mendapati bom buatan sendiri seberat kira-kira 26 kilogram ditanam di atas landasan.

State Railway of Thailand (SRT) memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pekerja kereta api yang terdiri daripada dua pemandu, seorang juruteknik dan pekerja lain. Insiden itu turut menyebabkan landasan mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, Piyawat berkata skuad pemusnah bom telah memeriksa tempat kejadian untuk memastikan ia bebas daripada sebarang ancaman bom. 

Beliau berkata laluan kereta api Hatyai-Padang Besar akan ditutup selama beberapa hari bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -