Polis Thailand tutup forum bincang isu Myanmar

BANGKOK, 11 Sept – Polis di Thailand menutup satu forum yang dianjurkan oleh wartawan asing untuk membincang sama ada pegawai kanan tentera di Myanmar akan menghadapi keadilan atas penganiayaan hak asasi manusia yang dilakukan oleh tentera mereka terhadap penduduk Islam Rohingya dan penduduk minoriti lain.

Kira-kira sepuluh anggota polis hadir pada perbincangan panel Kelab Koresponden Asing Thailand yang diadakan pada petang semalam dan mengarahkan anggota panel supaya jangan bercakap. Speaker termasuk Tun Khin, aktivis Rohingya terkemuka yang berpangkalan di UK; Kobsak Chutikul, bekas diplomat Thailand; dan Kingsley Abbott, wakil Suruhanjaya Para Juri Antarabangsa, kumpulan penyokong hak.

Pada bulan lalu, satu kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) mencadangkan pemimpin tentera Myanmar harus didakwa atas jenayah pembunuhan, penghapusan kaum dan jenayah perang lain yang dilakukan terhadap penduduk minoriti Rohingya.

Kira-kira 700,000 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh selepas tentera melancarkan satu kempen cegah pemberontakan dalam respons terhadap serangan oleh militan Rohingya pada Ogos lalu.

Tentera Myanmar, yang telah berdekad-dekad lamanya dituduh mencabul hak asasi manusia ke atas pelbagai penduduk minoriti etnik, menafikan melakukan penganiayaan hak terancang.

Gambar yang diambil pada 10 September 2018 menunjukkan seorang polis Thailand berdiri di dalam Kelab Koresponden Asing Thailand semasa forum mengenai isu di Myanmar yang diadakan di Bangkok, Thailand. – AP

Polis pada acara Bangkok itu menyerahkan sepucuk surat meminta perbincangan panel bertajuk ‘Adakah Jeneral Myanmar Akan Menghadapi Keadilan untuk Jenayah Antarabangsa?’ dibatalkan kerana ia mungkin mengugat keselamatan negara, menjejas hubungan asing dan memberikan parti ketiga peluang untuk menimbulkan pergolakan.

Bagaimanapun, Kolonel Polis Thawakhiat Jindakuansanong memberitahu penganjur: “Kami bukan meminta. Kami mengarahkan kamu supaya membatalkan acara tersebut.”

Dominic Faulder, presiden Kelab Koresponden Asing, meluahkan kekecewaan beliau dan berkata beliau tidak mempunyai pilihan kecuali mengumumkan pembatalan.

Dipercayai ia merupakan kali keenam polis telah memaksa pembatalan salah satu program kumpulan sejak tentera Thailand merampas kuasa daripada kerajaan dipilih pada 2014. Acara yang bermotifkan politik di tempat lain juga telah dibatalkan. – AP