Polis tumpas perkhidmatan kokain pandu lalu

ROM, 9 JUN – Polis Itali berjaya menumpaskan geng dadah yang menawarkan perkhidmatan pandu lalu untuk kokain di luar tanah perkuburan Rom, satu operasi yang didakwa dikendalikan dengan bantuan tiga anggota polis korup.

“Pelanggan, kebanyakan mereka datang dengan kereta tanpa perlu keluar, menghampiri subjek yang menyamar sebagai penjual bunga, membayar apa yang patut dan menerima kuantiti dadah yang diminta,” kata polis dalam satu kenyataan semalam.

Dua puluh dua orang disiasat sebagai sebahagian daripada ‘Operasi Cleopatra’ berikutan siasatan oleh pendakwa anti-mafia.

Separuh ditempatkan dalam tahanan dan enam lagi diletak di bawah penahanan dalam rumah.

Masih tidak jelas sama ada pegawai polis, dituduh berada dalam senarai gaji peniaga, antara mereka yang ditahan.

Suspek dituduh melakukan kesalahan termasuk menyeludup dadah, menjual dadah, memiliki senjata api haram, curi, rasuah dan mencabul peraturan polis.

Penjual, kebanyakannya warga Mesir yang bertemu di kafe Cleopatra, menyembunyikan dadah dalam pasu bunga, dalam batas bunga atau dalam belukar berhampiran gerai di tanah perkuburan Flaminio di utara ibu negara Itali, kata polis.

Pada malam, mereka akan memindah perniagaan mereka ke stesen kereta api berhampiran, dan juga mengendalikan dadah dari kedai jual daging. Menurut siasatan, kumpulan itu memperoleh AS$24,000 sehari daripada perniagaan mereka. – AFP