Polis tumpaskan sindiket dadah di Miri 

KUCHING, 20 MEI – Polis telah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier di bandar raya Miri selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam operasi khas yang berakhir hari ini. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Miri selama dua hari itu merampas kira-kira enam kilogram dadah jenis syabu, selain pil dan jus khayal bernilai RM219,885.

“Tangkapan pertama seorang lelaki berusia 37 tahun dilakukan di hadapan sebuah premis syarikat perkhidmatan kurier pada lebih kurang 4:30 petang pada 18 Mei. Satu bungkusan kotak barangan elektrik bersama tiga kilogram dadah syabu bernilai RM108,000 telah dirampas daripada lelaki tersebut,” katanya.

Susulan kejayaan itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 17 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Permyjaya di Miri kira-kira 4:50 petang, sebelum seorang wanita berumur 22 tahun ditahan 10 minit kemudian di kawasan yang sama. 

Tangkapan berkenaan telah membawa kepada penemuan dua paket jus ekstasi bernilai RM1,500, sebanyak 130 biji pil Erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435 di sebuah rumah kedai di Jalan Miri Airport.

Kira-kira 10:30 pagi pada hari ini, pasukan operasi itu berjaya memintas cubaan membawa masuk kira-kira tiga kilogram dadah jenis syabu di premis sebuah syarikat perkhidmatan kurier di bandar raya berkenaan.

Menurut Mohd Azman, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dengan dua daripada mereka didapati positif dadah.

Polis turut menyita dua buah kereta dianggarkan bernilai RM50,000 dipercayai digunakan sindiket itu dan kesemua suspek ditahan reman lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama