Polis Tutong terima sumbangan PPE

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 23 SEPT – Para petugas barisan hadapan COVID-19 Daerah Tutong terus menerima sumbangan kelengkapan pelindung diri daripada pelbagai pihak dan masyarakat di daerah ini.

Baru-baru ini, sebanyak 6,000 pelitup muka, 1,000 sarung tangan dan 50 unit pelindung muka serta beberapa botol pensanitasi tangan telah disumbangkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei cawangan Daerah Tutong, menerusi platform projek Inisiatif Pakai Mask.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas, Jabatan Daerah Tutong, Awang Adi Asnawi bin Haji Awang Adenan kepada Pemangku Timbalan Penguasa Polis, Awang Shamsulariffin bin Haji Abdul Wahab, juga selaku pegawai siasatan jenayah Daerah Polis Tutong di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong.

Projek anjuran Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) serta Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong itu dilaksanakan bukan saja untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di Daerah Tutong tetapi juga bagi orang ramai secara keseluruhannya.

Ia juga bertujuan agar semua pihak mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa agar dapat mengurangkan penularan wabak pada masa ini.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan pelitup muka bolehlah menghantarnya di Drop-Off Point, Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang Pekan Tutong dari 9 pagi hingga 2 petang atau dengan menghubungi talian 8836893 atau 7372043.

Antara PPE yang disumbangkan kepada pasukan polis di Daerah Tutong. – Gambar serahan Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong