LONDON, 23 FEB – Polis Britain berkata hari ini mereka telah melakukan rampasan dadah berbahaya yang dipercayai sebagai yang terbesar pernah direkodkan di negara itu.
Agensi Jenayah Kebangsaan berkata bahawa 5.7 tan (5,700 kg) kokain ditemui dalam kontena di pelabuhan Southampton di pantai selatan England pada 8 Februari.
Penemuan dadah itu ditemui tersembunyi di dalam kargo berisi pisang yang telah dihantar dari Amerika Selatan, kata agensi itu dalam satu kenyataan. Ia mempunyai anggaran nilai £450 juta (AS$568 juta) berdasarkan harga pasaran di UK, tambah NCA.
Pegawai penguatkuasa percaya dadah itu sedang dalam perjalanan ke Hamburg, Jerman ‘untuk penghantaran seterusnya’, kata kenyataan itu. – AFP