Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Politeknik Brunei bincang Akta Rahsia Rasmi 153

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Bagi memberikan penerangan lebih terperinci mengenai Akta Rahsia Rasmi akan peranan-peranan yang perlu diketahui oleh pegawai dan kakitangan termasuk pensyarah dan warganya, Politeknik Brunei telah mengadakan Perbincangan Akta Rahsia Rasmi 153, hari ini.

    Perbincangan yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Kondominium Ong Sum Ping, Politeknik Brunei itu mengetengahkan Penasihat Undang-undang, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara, Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohammad Yusof dan Timbalan Peguam dan Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara, Christopher Ng Ming Yew.

    Hadir selaku tetamu kehormat di perbincangan berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

    Turut hadir ialah pendaftar, para pegawai utama, ketua-ketua jabatan dan sekolah dari Politeknik Brunei.

    Dalam perbincangan berkenaan, Pengiran Hazirah dan Christopher Ng telah bercakap mengenai pelbagai kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi yang merangkumi komunikasi salah maklumat, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Seksyen 5 dan hukuman yang dikenakan jika tertuduh didapati bersalah atas apa-apa pelanggaran.

    Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei hadir selaku tetamu kehormat semasa Perbincangan Akta Rahsia Rasmi 153.
    Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei hadir selaku tetamu kehormat semasa Perbincangan Akta Rahsia Rasmi 153.
    Pengiran Hazirah dan Christopher Ng ketika menyampaikan ceramah mengenai Akta Rahsia Rasmi 153.
    Pengiran Hazirah dan Christopher Ng ketika menyampaikan ceramah mengenai Akta Rahsia Rasmi 153.
    Antara pegawai dan kakitangan di Politeknik Brunei yang hadir dalam perbincangan akta berkenaan.
    Antara pegawai dan kakitangan di Politeknik Brunei yang hadir dalam perbincangan akta berkenaan.

    Para pegawai dari Pejabat Peguam Negara itu juga merujuk kepada kes-kes yang didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi dalam bidang kuasa lain yang berkongsi undang-undang sama seperti Malaysia dan Singapura untuk menggambarkan sifat benar perbuatan itu dan pelbagai pengaplikasian.

    Antara isu yang dibincangkan bersama pegawai-pegawai dan kakitangan di Politeknik Brunei termasuklah mengenai isu-isu klasifikasi dokumen dan kepentingan menekankan kerahsiaan, terutamanya apabila berurusan dengan dokumen atau maklumat yang bersifat sensitif.

    Pengiran Hazirah dan Christopher Ng menekankan keperluan untuk memastikan bahawa bukan sahaja garis panduan dalaman perlu diwujudkan untuk mengawal selia dan melarang perkongsian sebarang maklumat yang mungkin sensitif, tetapi dasar dan garis panduan itu perlu betul-betul disampaikan kepada semua pegawai, kakitangan dan pelajar yang berkenaan.

    Selain bagi memberikan penerangan mengenai Akta Rahsia Rasmi, perbincangan juga bertujuan bagi menekankan kepentingan maklumat-maklumat dalam Perintah Rahsia Rasmi yang berwartakan dalam warta kerajaan Negara Brunei Darussalam dan bagi memberikan kefahaman tatacara, sebagai panduan, bukti yang lengkap dan rujukan dalam melakukan sesuatu kerja berkaitan dengan Rahsia Rasmi.

    Di samping itu juga bagi mengongsikan pengalaman dan ilmu dalam pengendalian akta dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara.

    Taklimat diakhiri dengan sesi soal jawab, diikuti dengan penyampaian cenderahati oleh Awang Alias kepada penceramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda