Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Politeknik Brunei promosi pendidikan global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Salah satu daripada inisiatif strategik utama Pelan Pembangunan Lima Tahun Politeknik Brunei 2015-2020 ialah untuk mempromosikan pendidikan global.

    Politeknik Brunei mengenal pasti pentingnya untuk menyediakan pendidikan yang meletakkan keutamaan kepada kemahiran global, nilai-nilai universal yang positif, memupuk toleransi dan kesefahaman serta mempromosikan hubungan antarabangsa yang bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak.

    Dalam hubungan itu, Politeknik Brunei melaksanakan program yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran global abad ke-21 dan ilmu pengetahuan yang akan membantu negara untuk bersaing di pentas global.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai dalam kata alu-aluannya semasa Forum dan Seminar Penglibatan Industri-Pelajar yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian forum berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

    Yang Berhormat Awang Iswandy semasa menghadiri forum dan seminar berkenaan.

    Turut hadir ialah Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan sekolah-sekolah dari Politeknik Brunei.

    Denis dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa forum dan seminar yang dilaksanakan oleh Pusat Bagi Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif, Politeknik Brunei itu menumpukan kepada isu-isu pekerjaan dan kemahiran global abad ke-21.

    Forum dan seminar yang membawa tema ‘Kemahiran Global – Peluang Bagi Sebuah Masa Depan Yang Cerah’ itu mengetengahkan ahli-ahli panel daripada industri utama negara yang akan membincangkan mengenai isu-isu pekerjaan dan trend yang menjejaskan industri tempatan yang dikenal pasti, kemahiran yang diperlukan bagi Revolusi Perindustrian ke-4 dan membincangkan bagaimana para graduan boleh meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka serta memperbaiki lagi kemahiran global mereka.

    Sesi forum mengetengahkan ahli-ahli panel daripada pelbagai industri iaitu dari Darussalam Enterprise (DARe), Pengurus Perkhidmatan dan Penasihat Perniagaan, Dayangku Hajah Siti Normardinah binti Pengiran Haji Omarali; Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek Khas, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Ketua Bahagian Industri Ternakan dan Perkhidmatan Veterinar, Dr Diana Dennis dan dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Ketua Pembelajaran dan Pembangunan, Yap Sin Fah.

    Sementara itu, sesi seminar mengetengahkan pembentangan daripada BIBD oleh Pengurus Kanan, Pemasaran dan Jualan Korporat, Pengiran Sanusi bin Penguran Haji Ismail dan daripada Ameen Farm oleh usahawan pertanian tempatan, Haji Irwandy Lois.

    Ia dihadiri oleh lebih daripada 150 orang pelajar dari Politeknik Brunei, UBD, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kolej Perdagangan Laksamana, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan dan Kolej Antarabangsa Micronet.

    Forum dan seminar itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan mengetengahkan trend ekonomi serta pekerjaan dan isu-isu dalam sektor industri dan ekonomi serantau dan global.

    Ia juga bermatlamat untuk mengenal pasti kemahiran global yang diperlukan untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan serta untuk menyebarkan maklumat mengenai pembangunan kemahiran yang diperlukan untuk terus kompetitif dalam pasaran pekerjaan semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda