KOTA KINABALU, 23 SEPT – Stigma politeknik adalah pilihan pelajar ketinggalan pelajaran kini terhakis, apabila institusi pendidikan itu berjaya menghasilkan ramai lulusan berkualiti yang memenuhi pasaran pekerjaan semasa.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata ini juga dapat dilihat apabila ramai lulusan institusi itu telah berjaya dalam bidang yang diceburi, hasil acuan sistem pendidikan politeknik.
“Rakan industri (politeknik) juga sangat penting dalam menghasilkan lulusan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) yang berkemahiran tinggi.
“Ini kerana perkongsian kepakaran dalam pelbagai usaha sama dengan rakan industri dapat membantu pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi (CoC) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) bersama sembilan syarikat dari pelbagai sektor bagi berkongsi kepakaran serta melaksanakan pelbagai usaha sama. – Bernama