Politeknik terima sumbangan BSP

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei telah menerima sumbangan beam pump unit daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) yang telah dipasang di Kampus Lumut pada 20 Jun lalu.

Beam pump unit (juga dikenali sebagai nodding donkey), yang biasa dilihat di Pekan Seria, adalah alat lif artifisial yang digunakan dalam industri petroleum untuk menyokong pengangkutan minyak mentah dari dasar telaga ke permukaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Politeknik Brunei, pemasangan beam pump unit berkenaan akan membolehkan para pelajar mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai sistem beam pump dan meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka.

Kenyataan menyatakan, Politeknik Brunei menawarkan program Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Petroleum kepada para pelajar yang berminat untuk mempelajari mengenai kejuruteraan petroleum dan inginkan kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Program bermatlamat untuk membangunkan kapasiti pelajar dalam mengaplikasikan prinsip dan amalan pembelajaran dalam persekitaran kerja sebenar dengan selamat dan cekap.

Menurut kenyataan, program merangkumi banyak kerja dan projek praktikal yang diperlukan untuk melahirkan calon berkemahiran dan kompeten bagi pekerjaan masa depan dalam industri minyak dan gas serta industri-industri yang berkaitan.

Dalam pada itu, Politeknik Brunei menyampaikan penghargaan kepada BSP atas sokongan pendidikan mereka yang berterusan.

Politeknik Brunei telah menerima sumbangan beam pump unit dari BSP. – Gambar serahan Politeknik Brunei