Polo Keputeraan buka tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan di antara Pasukan Polo Diraja Brunei dan Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan di Kejohanan Polo Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72.

Berangkat sama menyaksikan perlawanan itu yang diadakan di Royal Brunei Polo and Riding Club ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Juga berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul ‘Aleem.

Pasukan Polo Diraja Brunei yang dibarisi oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah telah berjaya menewaskan Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan dengan jaringan 10-4.5.

Pasukan Polo Diraja Brunei turut dibarisi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar dan Gaston Yurturi.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menyaksikan perlawanan polo antara Pasukan Polo Diraja Brunei dengan Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menyertai Pasukan Polo Diraja Brunei.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan beraksi dalam perlawanan itu.
Perlawanan Kejohanan Polo bersempena Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-72 Tahun antara Pasukan dari Singapura (putih) dengan Pasukan dari Malaysia (merah).

YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah membuka tirai jaringan Pasukan Polo Diraja Brunei pada minit ke-3. Pasukan Polo Diraja Brunei kemudian menambah jaringan menerusi jaringan YAM Pengiran Muda Bahar dan Gaston Yurturi untuk mendahului chaka pertama.

Pada chaka kedua pula, Pasukan Polo Diraja Brunei mendominasi perlawanan dengan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berjaya mengekalkan kelebihan pasukan dengan satu jaringan setelah menyaksikan pasukan lawan cuba bangkit menerusi Daffadar Raheem bagi jaringan pertama.

YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Gaston Yurturi kemudian terus menjejaskan pasukan lawan dengan masing-masing menambah satu jaringan lagi.

YAM Pengiran Muda Bahar dan Gaston Yurturi beraksi cemerlang pada chaka ketiga dengan melebarkan lagi jurang jaringan antara kedua pasukan, meskipun Daffadar Raheem cuba mengurangkan defisit dengan satu jaringan buat Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan.

YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah melengkapkan kemenangan pasukan dengan jaringan kelapan pasukan pada chaka terakhir.

Manakala Pasukan Tentera Republik Islam Pakistan terpaksa akur dengan keputusan itu meskipun beroleh jaringan sagu hati di akhir perlawanan.

Sementara itu, dalam perlawanan lebih awal, Pasukan Malaysia dan Pasukan Singapura beraksi sengit, namun akhirnya kemenangan berpihak kepada Pasukan Malaysia dengan kemenangan tipis.