Polo rangkul emas kedua

Oleh Fadhil Yunus di Filipina

Gambar oleh Infofoto

MANILA, 9 DIS – Pasukan Polo Brunei Darussalam melakar satu sejarah buat sukan negara selepas merangkul pingat emas dalam acara gol rendah 0-2 dengan kemenangan 7-4 ke atas Malaysia dalam acara akhir di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di padang Polo Miguel Romero di Calatagan, Batangas, hari ini.

Berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Ini merupakan pingat emas kedua buat negara yang berjaya diraih di Sukan SEA Filipina 2019, mencatatkan kejayaan dalam penyertaan kontinjen negara di Sukan SEA sejak penampilan sulung pada tahun 1997, memecah rekod 32 tahun ketika kontinjen negara berjaya meraih satu emas, enam perak dan 18 gangsa di Jakarta, Indonesia 1987.

Brunei menikmati permulaan perlawanan yang sempurna dalam chaka pertama ketika mereka menang mudah 3-0 yang dipimpin oleh Muhamad Farid Abdullah dengan dua jaringan diikuti jaringan oleh Idris Sirat.

Pasukan polo negara mendapat tentangan daripada pasukan Malaysia, yang menyerlah selepas Rashid Hasnan berjaya menjaringkan dua gol dalam chaka kedua untuk merapatkan kedudukan.

Dalam chaka ketiga, pasukan Brunei meninggalkan lawan Malaysia dengan mendahului perlawanan 7-2 di mana Muhamad Farid mempamerkan aksi terbaik dengan menambah dua gol dikuti dengan jaringan daripada Idris dan Haji Mahari.

Rashid berusaha untuk merapatkan jurang mata dengan memperoleh dua gol untuk Malaysia tetapi ia tidak mencukupi apabila masa perlawanan telah tamat, mencatat satu peristiwa penting bagi pasukan polo Brunei Darussalam dan seluruh kontinjen negara.

Kem polo Brunei berada dalam suasana kegembiraan selepas berjaya merealisasikan kemenangan pingat emas di akhir chaka keempat.

Pasukan Polo Brunei Darussalam memulakan kejohanan dengan meraih pingat gangsa dalam acara gol tinggi 4-6.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Pengiran Muda Bahar berkenan bergambar ramai selepas acara penyampaian pingat.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyaksikan perlawanan akhir polo.
Antara aksi perlawanan menarik antara pasukan polo negara menentang pasukan polo Malaysia di Padang Polo Miguel Romero, Calatagan, Batangas, Filipina.