POLSARA terima anak kunci bangunan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

TEMBURONG, 8 JUN – Bagi memudahkan ahli-ahli Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA) untuk menyusun serta merancang kegiatan mereka dengan lebih efisien, satu majlis menandatangani perjanjian dan penyerahan anak kunci bangunan bekas Balai Polis Bangar bagi kegunaan POLSARA telah dilangsungkan baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya acara penyerahan kunci bangunan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Mubarak bin Pengiran Haji Hashim kepada Yang Di-Pertua Polsara, ACP (B) Haji Murad bin Haji Hadi. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Sgt (B) Haji Ahmad Besar bin Haji Mohd Salleh berserta ahli-ahli POLSARA dan disaksikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohd Azmi bin Haji Suhaili, berserta Insp (B) Haji Abdul Halim bin Haji Ahmad.

ACP (B) Haji Murad amat bersyukur atas keprihatinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana meminjamkan bangunan tersebut sebagai pusat kegiatan POLSARA di Daerah Temburong.

Ahli-ahli POLSARA akan terus komited menjaga keselamatan bangunan tersebut sebagai satu ristaan generasi akan datang.

Acara penyerahan anak kunci bangunan bekas Balai Polis Bangar bagi kegunaan POLSARA.