Pompeii uji robot anjing pengawal baharu

POMPEII, ITALI, 12 JUN – Seekor robot anjing yang dilihat sedang merayau-rayau di lorong-lorong batu purba taman arkeologi terkenal di Pompeii telah menjadi tumpuan ramai pelancong pada Jumaat lalu.

Spot ialah robot kawalan jauh berwarna kuning-hitam yang kelihatan seperti kacukan antara anjing dan serangga.

Misi Spot di Pompeii adalah untuk memeriksa kawasan yang sukar diakses akibat runtuhan yang luas bagi mengumpul data dan memaklumkan pengendalinya tentang masalah keselamatan serta struktur kawasan.

“Terutamanya struktur bawah tanah di mana keadaan keselamatan tidak membenarkan (kakitangan) masuk, seperti di kebanyakan terowong yang sangat sempit dan berbahaya,” beritahu pengarah besar Pompeii, Gabriel Zuchtriegel, kepada AFP.

Antara fungsinya termasuk meninjau terowong yang digali semasa aktiviti penggalian rahsia, yang menurut Zuchtriegel “masih berlaku secara berleluasa di kawasan itu”.

Dengan puing-puing yang digali serentasi kawasan seluas 44 hektar, tapak arkeologi tersebut memelihara tinggalan bandar purba di selatan Naples yang tertimbus abu selepas letusan Gunung Vesuvius yang berdekatan pada 79 AD.

Spot yang juga seberat 70 kilogram dan bersaiz lebih kurang seperti Golden Retriever itu, dikawal secara kawalan jauh menggunakan tablet dan mempunyai kelengkapan lebih baik daripada manusia biasa untuk meninjau kawasan tertentu di taman berkenaan.

Robot tersebut adalah hasil ciptaan syarikat AS, Boston Dynamics, yang pakar dalam bidang robotik, termasuk bagi kegunaan tentera. Spot juga dikatakan boleh digunakan dalam pelbagai industri seperti pembinaan, perlombongan serta pembuatan. – AFP

Spot ialah pengawal robot anjing ciptaan Boston Dynamics yang mempunyai pelbagai fungsi canggih. – AP