Pompeo bakal lawat tiga negara Timur Tengah

WASHINGTON, 6 Mac – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo akan mengadakan lawatan ke Israel menjelang pilihan raya negara itu pada 9 April, namun dia tidak akan terlibat dalam politik domestik negara itu, menurut Jabatan Negara AS, semalam.

Pompeo semasa menghadiri satu perbincangan bersama para pelajar di Iowa, kelmarin, berkata dia merancang untuk mengadakan lawatan ke Lubnan, Israel dan Kuwait pada ‘minggu depan.’

Tanpa memberikan tarikh yang tepat, Jabatan Negara AS berkata lawatan tersebut dirancang sedikit demi sedikit menjelang pilihan raya Israel.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekutu rapat pentadbiran Trump, berdepan kesukaran pilihan raya tatkala dia menafikan dakwaan berkaitan rasuah, penipuan dan pecah amanah. – AFP