NEW DELHI, 26 OKT – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo tiba di New Delhi hari ini, memulakan jelajah empat negara Asia yang dikatakan akan menumpu pada ‘ancaman’ yang ditimbulkan oleh China.
Disertai Setiausaha Pertahanan, Mark Esper bagi kunjungan dua hari, Pompeo akan mengadakan rundingan peringkat tinggi berikutan kemuncak ketegangan antara India dan China sejak pertempuran maut sempadan pada Jun.
India akan membangkitkan beberapa isu ketika Pompeo dan Esper menemui Menteri Hal Ehwal Luar Negeri India, Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Pertahanan, Rajnath Singh.
Dua demokrasi terbesar di dunia itu dijangka akan menandatangani perjanjian berhubung perkongsian perisikan geo-spatial, membuka jalan bagi Amerika Syarikat untuk menghantar teknologi peluru berpandu sofistikated, kata para pegawai.
Esper juga akan membincangkan cara-cara untuk meningkatkan kerjasama antara pasukan tentera dua negara.
Ini akan termasuk perkongsian perisikan, meningkatkan eksesais bersama dan penjualan senjata – kemungkinan jet-jet pejuang US F-18.
Pompeo akan berkunjung dari India ke Sri Lanka, Madives dan Indonesia, semuanya mempunyai peranan penting dalam laluan maritim Lautan Hindi di mana China menunjukkan pengaruh besar. – AFP