Pompeo, Khalid bincang isu dua hala

WASHINGTON, 6 NOV – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo semalam mengadakan pertemuan  dengan Menteri Pertahanan dan Keselamatan Qatar Khalid bin Mohammad Al Attiyah, antara lain membincangkan isu dua hala dan serantau, lapor agensi berita Xinhua. 

Kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai ‘kepentingan perpaduan dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk menentang’ Iran, menurut kenyataan Jabatan Negara AS. Turut dibincangkan isu dua hala dan serantau lain termasuk berkaitan Iraq, Syria dan Lubnan.

Pompeo turut merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Al Attiyah di atas kerjasama yang terjalin selama ini.

Kira-kira 10,000 tentera AS dan puluhan pesawat tempur ditempatkan di Kem Tentera Qatari Al-Udeid, yang dianggap pangkalan tentera terbesar AS di Timur Tengah.

Krisis Teluk yang tercetus pada Jun 2017 terus menjadi keruh selepas tiga anggota GCC, iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, serta Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. – Bernama