Pompeo tiba di Arab Saudi

JEDDAH, ARAB SAUDI, 24 JUN – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo tiba hari ini di Arab Saudi untuk rundingan mengenai penyelarasan bersama sekutu di tengah ketegangan yang meningkat dengan Iran.

Pompeo dijangka bertemu dengan Raja Salman dan putera mahkota, Mohammad bin Salman di bandar Laut Merah Jeddah, sebelum berlepas untuk rundingan di Emiriah Arab Bersatu, kata pegawai AS.

Pemimpin Saudi dan Emiriah menyokong dasar AS yang ketat ke atas pencabar serantau Iran, yang pada minggu lalu menembak jatuh sebuah dron AS, mendorong Presiden Donald Trump mengarahkan serangan tentera sebelum beliau mengubah fikirannya.

Pompeo, bercakap kepada wartawan ketika beliau berlepas dari Washington, menggelar Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu ‘dua sekutu hebat dalam cabaran yang ditimbulkan oleh Iran.’

“Kami akan bercakap dengan mereka tentang cara-cara memastikan kami boleh membina satu gabungan global,” kata Pompeo.

Beliau berkata AS berusaha menjalin gabungan ‘bukan sahaja dengan negara Teluk tetapi di Asia dan Eropah yang memahami cabaran ini dan bersedia untuk menentang negara penaja keganasan terbesar di dunia.’

Lawatan beliau diadakan meskipun kontroversi yang meningkat di Amerika berhubung hubungan pentadbiran Trump yang rapat dengan Mohammed bin Salman selepas penulis penentang yang berpangkalan di AS Jamal Khashoggi dibunuh dan dipenggal badannya dalam pejabat konsul Saudi di Istanbul pada tahun lalu.

Pompeo menggunakan kuasa kecemasan istimewa, memetik Iran sebagai satu ancaman, untuk meluluskan AS$8.1 bilion dalam jualan senjata kepada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, meskipun kebimbangan dalam Kongres AS bahawa senjata akan digunakan untuk membunuh orang awam dalam peperangan di Yaman. – AFP

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo (kanan) bertemu dengan Raja Salman di Istana Al Salam di Jeddah, Arab Saudi kelmarin. – AP
SAHAM
TerdahuluRalat
SeterusnyaColombia mula optimis