Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pondok serba guna, fasiliti tarikan untuk beriadah

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan ahli Jawatankuasa Kerja Taman Riadah Bukit Saeh 

    Aktiviti riadah semakin mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira usia dan jantina terutama semasa pandemik ini.

    Ia bukan saja dapat menyihatkan tubuh badan malah boleh menghilangkan tekanan di samping merupakan satu aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan bersama ahli keluarga.

    Di Negara Brunei Darussalam terdapat banyak tempat yang menarik untuk melakukan riadah lasak dan ringan malahan sejak kebelakangan ini, banyak lokasi baharu telah diterokai dan turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang ramai.

    Sehubungan dengan itu, kelmarin telah diadakan Majlis Perasmian Pondok Serba Guna dan Fasiliti sekitar Taman Riadah Bukit Saeh.

    Kemuncak majlis ialah memotong reben dan menabur bunga rampai yang dirasmikan oleh Pemangku Ketua Kampung Lumapas A, Haji Saini bin Haji Maidin, bersama-sama penaja dari Syarikat Bit Computer yang diwakili oleh Loo Kuan Look.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Taman Riadah Bukit Saeh bersama wakil penaja serta sukarelawan bergambar ramai semasa majlis tersebut.
    Haji Saini dan Loo Kuan Look bersama-sama memotong reben bagi merasmikan pondok serba guna dan fasiliti di Taman Riadah Bukit Saeh.

    Turut hadir ialah Pengerusi Bersama iaitu Awang Mohd Amin bin Haji Nudin dan Haji Halidi bin Jerudin serta ahli Jawatankuasa Kerja Taman Riadah Bukit Saeh dan sukarelawan.

    Perasmian itu bertujuan sebagai mercu tanda hasil kerjasama dari syarikat swasta, penduduk Kampung Lumapas dan juga orang ramai secara amnya yang bertungkus-lumus berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan di taman tersebut.

    Kini, Taman Riadah Bukit Saeh telah memiliki kemudahan bagi para pengunjung dan pendaki seperti pondok serba guna yang boleh dijadikan sebagai ruang solat, kemudahan tandas awam dan juga sinki. 

    Kemudahan ini sekali gus dapat memberi keselesaan dan faedah jika dijaga dengan sebaiknya bersesuaian dengan fungsi dan matlamatnya.

    Bagi memberkati majlis Doa Selamat turut dibacakan yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Lumapas, Awang Mohd Azree bin Haji Asli.

    Majlis turut diselajurkan dengan acara bergambar ramai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dengan menggunakan pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...