BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Poni Divers, baru-baru ini, telah meraikan Hari Menyelam Wanita PADI, acara sedunia yang menyaksikan penyelam-penyelam wanita berkumpul bagi berkongsi minat terhadap dunia bawah air.
Bagi sambutan yang dihoskan oleh Poni Divers pada 14 Ogos lalu, lapan orang penyelam wanita telah menyertai penerokaan tapak kapal karam, Dolphin Wreck, sedalam 24 meter di perairan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Poni Divers, ini merupakan tahun keenam acara global berkenaan diadakan. Ia biasanya diadakan pada Julai tetapi ditangguhkan disebabkan keadaan cuaca.
Poni Divers menyertai acara berkenaan sebagai salah sebuah syarikat yang dipilih di bawah Program Rundingan Standard DARE dan mencapai pensijilan ISO 9001: 2015.
































