Poni Group terima pengiktirafan ACES

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 NOV – Poni Group Sdn Bhd baru-baru ini, telah menerima anugerah berprestij Asia’s Most Promising SMEs, diberikan sebagai sebahagian daripada Anugerah Kemapanan dan Kecemerlangan Korporat Asia (ACES) yang diadakan secara maya di Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Dalam mewakili Brunei, Poni Group diiktiraf oleh ACES kerana menggambarkan hala tuju perniagaan yang jelas dengan inisiatif-inisiatif kuat yang bermatlamat untuk memacu pertumbuhan, sementara menghadapi cabaran yang timbul disebabkan endemik global dengan menanamkan budaya perubahan tangkas dan responsif, yang berjaya diharungi Poni Group dengan melaksanakan, mengembangkan dan menukar haluan perniagaannya ke arah perkhidmatan penting dalam persekitaran perniagaan pada masa ini.

Dengan subsidiari-subsidiari yang dimiliki sepenuhnya termasuk Poni Divers, Poni Marine, Poni Adventures, ASTARI dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang bergabung dengannya, Poni Foundation, jenama Poni telah jauh berkembang ke dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk kejuruteraan marin, hidrografi, subsea, perkhidmatan-perkhidmatan latihan dan bekalan dalam sektor maritim, pembinaan, luar pantai, akuakultur dan pertahanan serta sektor teknologi dan pengurusan acara dengan acara pembinaan pasukan korporat, aktiviti sukan air dan pelancongan eko, yang telah mereka asaskan sejak 2008 sebagai pembaharu aktiviti pesisir laut.

Dalam menerima anugerah berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group, Mohd Tahsin Wong bin Abdullah dipetik berkata, selepas memenangi Anugerah Perniagaan ASEAN bagi Pertubuhan Cemerlang PKS tahun lalu, mereka gembira kerana dapat mewakili Brunei sekali lagi tahun ini dengan memenangi Anugerah ACES bagi Asia’s Most Promising SMEs.

“Keterbukaan kami dalam meneroka pasaran-pasaran baharu bersama dengan sasaran kami untuk mewujudkan kehadiran serantau bagi perkhidmatan korporat kami sebagai sebuah syarikat yang dibangunkan di Brunei telah menjadi kunci kepada pertumbuhan berterusan kami,” ujarnya.

Gambar menunjukkan Poni Group menerima anugerah semasa majlis yang diadakan secara maya.