Populasi harimau di Asia Tenggara masih terancam

NEW DELHI, 29 JULAI – Meskipun populasi harimau di lima negara dilihat semakin bertambah, tetapi haiwan yang dikategorikan sebagai spesies terancam ini tetap berdepan dengan ancaman seperti pemburuan haram, menurut kumpulan pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan kerajaan India.

India, yang merupakan rumah bagi 70 peratus populasi kucing besar itu, adalah antara 13 negara yang berjanji sedekad yang lalu untuk meningkatkan jumlah populasi spesies berkenaan.

“Dari kadar yang rendah pada tahun 2010, populasi harimau kini semakin bertambah di sebahagian besar Asia Selatan, Rusia dan China,” kata ketua Inisiatif WWF Stuart Chapman dalam satu kenyataan sebagai menandakan Hari Harimau Sedunia hari ini. Chapman mengatakan peningkatan populasi di Bhutan, China, India, Nepal dan Rusia adalah ‘berita baik’ bagi spesies yang terancam dalam habitatnya, dan juga untuk berjuta-juta orang yang bergantung pada ekosistem tersebut.

Tetapi harimau tetap berdepan dengan ancaman daripada pemburuan liar dan pemusnahan habitat, kata WWF.

“Ini telah mencapai tahap kritikal di sebahagian besar Asia Tenggara, di mana krisis perangkap haiwan merosakkan hidupan liar, termasuk harimau dan mangsanya,” kata kumpulan itu. Dalam laporan yang dikeluarkan, WWF mendapati terdapat lebih dari 12 juta perangkap yang mengancam hidupan liar di kawasan terlindung di Kemboja, Laos dan Vietnam. – AFP

Gambar pada 23 Julai menunjukkan seekor harimau menikmati makanannya di zoo Dhaka yang ditutup berikutan dengan penularan pandemik COVID-19. – AFP