Porsche Approved Warranty diperkenalkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Porsche Brunei dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, telah mengumumkan pengenalan Porsche Approved Warranty yang akan memberikan lebih ketenangan fikiran dan memastikan kualiti kenderaan Porsche yang diluluskan untuk para pelanggan di Brunei.

Kenyataan menjelaskan bahawa Porsche Approved Warranty merupakan perkhidmatan jaminan daripada Porsche AG yang menawarkan pemilik Porsche liputan sehingga 10 tahun dan adalah sah di seluruh dunia di setiap Pusat Porsche di pasaran-pasaran yang menyediakan Porsche Approved Warranty.

Kenyataan menyatakan lagi, pembuat kenderaan Stuttgart berkenaan terus komited untuk menghasilkan kereta-kereta sport mewah yang terus mencerminkan apa yang boleh dicapai.

Timbalan Pengurus Besar Porsche Brunei, Lahiru De Silva dipetik menyatakan bahawa Porsche Brunei akan terus mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu serta menjana pengalaman pemilikan yang terbaik bagi para pelanggan mereka.

Beliau berkata lagi bahawa aspek terbaik prestasi Porsche bukan sahaja kelajuannya dan pengendaliannya tetapi juga ketepatan masanya.

Porsche Approved Warranty mentakrifkan semula mercu tanda bagi jaminan kilang di Brunei dan juga meningkatkan secara signifikan nilai baki kenderaan-kenderaan Porsche yang menunjukkan komitmen mereka pada pelanggan-pelanggan mereka.

Porsche bukan sahaja memberikan prestasi dinamik dan kenikmatan pemanduan yang terbaik tetapi juga ketahanan dan kepercayaan. Kenyataan menyatakan bahawa 70 peratus kenderaan Porsche yang telah dihasilkan masih lagi berada di atas jalan pada masa ini, di mana ia menunjukkan nilai signifikan dan kualiti kenderaan-kenderaan Porsche.

Porsche Approved Warranty adalah terpakai bagi semua kenderaan pengeluaran standard dan kesemua kenderaan yang memohon bagi jaminan berkenaan perlu menjalani Pemeriksaan 111-Point standard di Pusat Porsche yang diberi kuasa supaya dapat menilai keadaan dan kelayakan.

Porsche Approved Warranty adalah termasuk liputan jaminan sehingga 10 tahun, terma yang boleh dipilih antara 12 dan 24 bulan, penggunaan eksklusif alat ganti Porsche tulen, Pemeriksaan 111-Point, kesahan di seluruh dunia di setiap Pusat Porsche dan liputan untuk kesemua pembaikan komponen termasuk alat ganti dan buruh.

Porsche Approved Warranty mempunyai jaminan sehingga 10 tahun dan sah di seluruh dunia di setiap Pusat Porsche yang menyediakannya. – Gambar serahan Porsche Brunei