Porsche Asia Pasifik anjur kejohanan e-sukan

SINGAPURA, 26 OGOS – Porsche Asia Pasifik dengan bangga mengumumkan Piala Porsche Gran Turismo Asia Pasifik, sebuah acara e-sukan baharu yang bermula pada 5 September ini yang telah dianjurkan oleh Porsche Asia Pasifik bersama dengan Porsche Jepun, Porsche Korea dan Porsche Taiwan.

Dengan kejohanan perlumbaan simulasi terbaharu ini, Porsche juga sebelum ini pernah menjayakan acara e-sukan seperti Porsche Asia Pacific Forza Cup pada tahun 2020, Porsche SimRacing Trophy dan Porsche E-sports Supercup, menjadikan pengeluar kereta sukan itu sebagai salah satu jenama automobil untuk terlibat dalam perlumbaan e-sukan.

Piala Porsche Gran Turismo Asia Pasifik akan diadakan di Gran Turismo Sport, permainan video yang dicipta untuk konsol PlayStation 4 Sony.

Kejohanan tersebut terbuka kepada peserta dari Singapura, Vietnam, Thailand, Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan New Zealand, yang akan mengumpulkan mata dalam lima pu-singan kelayakan, masing-masing akan merangkumi dua slot pertandingan.

Peserta yang berjaya di separuh akhir akan bertemu dengan pelumba dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan di mana masing-masing menghantar lima pemain terbaik mereka. Seramai 10 pesaing teratas yang memenangi separuh akhir akan bertanding di final dan pemenang akan menerima hadiah utama penerbangan ke Tokyo dari Porsche, termasuk lawatan ke Pusat Pengalaman Porsche Tokyo dan banyak lagi.

Perlumbaan kelayakan akan diadakan di litar perlumbaan paling terkenal di seluruh dunia, seperti di Litar de la Sarthe, Fuji Speedway, Litar Gunung Panorama dan Litar Motor Goodwood.