Porsche Brunei tawar peralatan standard dipertingkat

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan QAF Eurokars

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – QAF Eurokars selaku pengimport dan pengedar sah kenderaan Porsche di Brunei telah mengumumkan ketersediaan semua barisan model dalam pasaran termasuk model Panamera dan Cayenne E-Hybrid buat pertama kali.

Selain itu, siri varian-varian baharu daripada model-model Cayenne Coupé yang sporty bersama model 718 yang berorientasikan prestasi hingga model mewah 911 Turbo S juga tersedia.

QAF Eurokars dalam kenyataannya mengongsikan bahawa mereka telah mencatatkan suku pertama yang berjaya tahun ini dengan peningkatan 62.5 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Kenyataan menjelaskan, syarikat berkenaan telah mencari cara untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dan penawaran produk serta terus berharap untuk meningkatkan pengalaman Porsche secara keseluruhan.

“Kami sedang bersiap untuk melancarkan Pusat Porsche baharu pada akhir tahun ini dengan harapan dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan kerana kami menerima Taycan Turbo S, Taycan Turbo dan Taycan 4S iaitu model elektrik pertama Porsche, yang baharu sahaja diperkenalkan,” Timbalan Pengurus Besar QAF Eurokars, Lahiru De Silva dipetik sebagai berkata.

Model 992 yang juga tersedia di QAF Eurokars.
QAF Eurokars turut menawarkan V-Option 14 Ways Comfort Seat dengan Pakej Memori.

Beliau menambah, buat masa ini, mereka ingin memastikan bahawa pelanggan di Brunei mendapat lebih kepuasan dalam membeli kenderaan Porsche berbanding sebelumnya.

“Selain jaminan empat tahun yang memberikan ketenangan, kini keseluruhan barisan produk ditingkatkan dengan pilihan yang lebih khusus untuk memberikan lebih keselesaan dan keselamatan serta pemanduan yang lebih sporty,” tambah beliau.

QAF Eurokars juga memperkenalkan pakej menarik baharu daripada rangkaian barisan sedia ada dengan peralatan standard yang dipertingkatkan. Ia memberikan spesifikasi dan pilihan yang dipertingkatkan kepada pelanggan.

Bergantung pada model, pilihan mungkin berbeza-beza dan beberapa pilihan yang popular termasuklah power steering plus, park assist, tempat duduk selesa, akses selesa dan sistem suara sekeliling BOSE.

Di bahagian luar, pelanggan boleh mendapatkan penutup hab tayar dengan lambang Porsche berwarna serta cermin luaran dan dalaman yang meredup secara automatik.

Selain itu, pelanggan dapat mendapatkan semua pilihan tambahan berkenaan pada harga yang lebih menarik daripada sebelumnya.

Porsche juga memperkenalkan konfigurasi kereta dalam talian Porsche yang membolehkan pelanggan membina kereta impian melalui perkhidmatan dalam talian dan membawa maklumat mereka kepada pasukan di Pusat Porsche.

Alat carian kenderaan (vehichle search tool) dalam talian itu boleh didapati di laman web rasmi, memudahkan pelanggan mencari kenderaan baharu dan terpakai.