Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Porsche Brunei terima anugerah kecemerlangan

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Pusat Porsche Brunei, QAF Eurokars Sdn Bhd mencatat satu lagi pencapaian apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Porsche 2017 dari Porsche Asia Pacific.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Pusat Porsche Brunei menekankan bahawa pencapaian berkenaan merupakan bukti komitmen mereka dalam memberikan pengalaman pemilikan Porsche terbaik kepada para pelanggannya.

    Penyampaian anugerah berkenaan telah berlangsung di Mallorca, Sepanyol baru-baru ini, di mana hadir menerima anugerah bagi pihak Pusat Porsche Brunei ialah Pengurus Selepas Jualan QAF Eurokars, Pusat Porsche Brunei, Lahiru De Silva.

    Lahiru De Silva dipetik sebagai berkata, “Pencapaian terbaharu ini melengkapkan kejayaan baru-baru ini yang dicapai oleh Pusat Porsche Brunei kerana etika kerja yang kukuh dan ahli pasukannya yang bermutu tinggi dan bermotivasi.”

    Kenyataan menjelaskan, kriteria penganugerahan berkenaan mengambil kira proses selepas jualan dan pengalaman menyeluruh pelanggan.

    Lahiru De Silva (tiga dari kanan) semasa menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Porsche dari Porsche Asia Pasific.

    Pusat Porsche Brunei diberikan anugerah berkenaan atas kecekapan pasukan untuk menawarkan perkhidmatan yang berkualiti, inovatif dan usaha untuk memuaskan pelanggan Porsche sepenuhnya untuk memperoleh keyakinan dan kesetiaan mereka.

    Menurut kenyataan, program penetapan standard ditubuhkan untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam keseluruhan prestasi selepas jualan pusat-pusat Porsche di seluruh dunia.

    Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha jenama berkenaan untuk mengenal pasti dan memberi ganjaran prestasi perkhidmatan cemerlang pusat-pusat Porsche yang mengikut tradisi kecemerlangan Porsche.

    Pusat-pusat Porsche dinilai menerusi sistem berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI) yang merangkumi pengukuran kerja selepas jualan dan kepuasan perkhidmatan kepada pelanggan.

    Porsche Brunei adalah antara pemenang dari seluruh dunia dalam pertandingan Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Porsche dan juga mendapat tempat pertama di rantau Asia Pasifik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda